Monday, November 23, 2009

Satu atau Tujuh Puluh Dua...?


Dari ‘Auf bin Malik, ia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Yahudi terpecah menjadi 71 (tujuh puluh satu) golongan, satu (golongan) masuk Surga dan yang 70 (tujuh puluh) di Neraka. Dan Nasrani terpecah menjadi 72 (tujuh puluh dua) golongan, yang 71 (tujuh puluh satu) golongan di Neraka dan yang satu di Surga. Dan demi Yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya, ummatku benar-benar akan terpecah menjadi 73 golongan, yang satu di Surga, dan yang 72 golongan di Neraka,’ Ditanyakan kepada beliau, ‘Siapakah mereka (satu golongan yang masuk Surga itu) wahai Rasulullah?’ Beliau menjawab, ‘Al-Jama’ah.’
(HR Ibnu Majah, Ibnu Abi 'Ashim, AlLalikaa-i)

Kalau dibaca hadith di atas, telah dinyatakan tentang perihal hanya ada satu sahaja golongan dari setiap umat yang akan masuk syurga. Satu golongan yang dimana setiap manusia yang membaca hadith diatas pasti berkira-kira, "Apakah aku termasuk dalam golongan tersebut?" sambil mengerutkan dahi dan jantung yang berdebar-debar. Barangsiapa yang merasakan hal seperti ini, maka masih ada iman dalam hatinya karena bergementaran apabila mendengar ucapan Allah swt melalui perantaraan Rasulullah saw. Kadang-kadang dalam sedar atau tidak, setiap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kita, pasti hati kecil kita terdetik samada apa yang kita telah/sedang/bakal lakukan ini bertepatan atau tidak dengan kehendak Allah swt, apakah ianya satu perbuatan yang diredhai Allah atau tidak. Namun hasilnya mungkin sebagian sahaja daripada kita yang menterjemahkan kegusaran itu dan berfikir kembali dan sebagian lagi mencuba untuk melupakannya dengan menenangkan diri sambil berkata bahawa mungkin itu hanya mainan hati. Tiada syak pun di dalam hati bahawa mungkin itu adalah peringatan dari Allah supaya memikirkan lagi akibat dari perbuatan itu.

Era globalisasi zaman kini telah membawa lebih banyak kepada hiburan atau lebih sering disebut Hedonisme. Ramai yang terlalu taksub akan hiburan dan fanatik kepada perkara yang melalaikan. Masing-masing hampir tidak sedar perbuatan tersebut dan merasakan ianya cuma minat biasa dan tidak menyimpang dengan agama. Tapi bila difikir-fikirkan kembali, wajarkah kita melebih-lebihkan orang yang belum tentu sayang kepada kita seperti yang Rasulullah saw lakukan kepada kita? wajarkah kita memuja mereka, mengambil tahu setiap inci kegiatan harian mereka, informasi terkini dan terdahulu tentang mereka, hingga kita mengabaikan terus perkara yang seharusnya kita ketahui. Apabila dilakukan survey pada mereka ini, dan ditanyakan mengenai Islam dan Rasulullah, segelintir menjawab "Erm..penah belajar masa sekolah dulu..hehe" sambil menggaru-garu kepala dan sengih. Sungguh sedih melihat anak-anak muda zaman sekarang yang kecintaannya pada dunia lebih dari akhirat.

Hidup di dunia ini hanya persinggahan semata-mata macam RnR, stesen minyak, dan mana-mana tempat rehat yang akhirnya akan kita tinggalkan. Beza nya dengan kehidupan adalah kita tidak akan pernah dapat kembali lagi andaikata sudah sampai ke tempat tujuan kita di sana; samada syurga atau neraka. Itu semua haikiki dan kekal selama-lamanya. Maka hidup di alam fana ini seharusnya membuat kita lebih gigih untuk mengejar kesenangan di akhirat. Umpama seorang pendaki yang hendak mendaki gunung. Pelbagai persediaan telah dilakukan dari segi mental ataupun fizikal. Bermula dari latihan stamina hinggalah bekalan makanan, khemah dan sebagainya. Seboleh-bolehnya dipastikan tiada yang tertinggal atau tiada apa-apa yang boleh mempersulit perjalanannya. Tapi hal ini tidak pula diaplikasikan dalam kehidupan di dunia ini. Tak ramai diantara kita yang bersungguh-sungguh mengejar akhirat.

Di dalam Kitab Tambigul Ghafilin (Peringatan bagi yang Lupa) ada menukilkan tentang 5 kerisauan yang seharusnya bertapak dalam hati kita sebagai manusia, hamba Allah swt;
  • Kerisauan tentang dosa yang telah dilakukan, samada diampunkan ataupun tidak.
  • Kerisauan tentang setelah dilakukannya kebaikan, apakah diterima oleh Allah atau tidak.
  • Kerisauan tentang perkara yang telah dilakukan pada masa lalu dan akan dilakukan pada masa depan
  • Kerisauan tentang posisinya antara dua stesen akhir yang diciptakan Allah; Syurga atau Neraka.
  • Kerisauan samada Allah meredhainya atau membencinya.
Seandainya perkara-perkara ini sentiasa berlegar-legar difikiran kita, mungkinkah kita masih tegar untuk melakukan maksiat? masihkah kita mampu untuk bergelak ketawa dan terlalu gembira dengan dunia? mungkinkah kita sanggup menolak sebentar untuk beribadat dengan lebih tekun pada Allah? Fitrah manusia sememangnya lemah, andai perkara ini diterapkan dalam diri, pastinya kita lebih berhati-hati dan menjaga setiap amal dan perbuatan didunia ini. Kerisauan inilah yang menjadi pemangkin untuk kita teruskan ibadat dan meninggalkan maksiat seterusnya berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan dan berusaha menolak kemungkaran.

Sehubungan dengan bertandangnya bulan Dzul Hijjah ini, sebuah hadith riwayat Ibnu Abbas;

Rasulullah saw bersabda " Tidak ada hari, dimana amal shalih di dalamnya lebih dicintai oleh Allah selain daripada hari-hari ini- 10 hari pertama bulan Dzul Hijjah. Mereka berkata; "Wahai Rasulullah saw, walaupun jihad fi sabilillah?" Baginda menjawab; "Walaupun jihad fi sabilillah, kecuali ada seorang yang keluar dengan jiwa dan hartanya (untuk jihad) kemudian tidak membawa pulang itu semua" "(HR Bukhari)

Bagi menyahut seruan Rasulullah saw, marilah sama-sama kita melakukan amal shalih dalam 10- hari pertama bulan dzul Hijjah ini. Sayang rasanya andai pada hari-hari yang dicintai Allah ini kita habiskan dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Banyak perkara amal shalih yang boleh kita lakukan. Tiada hadith yang menyatakan amalan-amalan yang khas dilakukan pada hari-hari tersebut, namun segala bentuk amal shalih bisa dilakukan. Maka perbanyakkanlah membaca Al Quran, berzikir tahmid, tahlil, dan takbir, bersedekah, berpuasa terutama pada Hari Arafah seperti yang dinyatakan dalam satu hadith riwayat Abu Qatadah ra;

Rasulullah saw ditanya tentang puasa pada hari Arafah. Baginda menjawab: "Ia dapat menghapuskan dosa pada tahun lalu dan tahun berikutnya." (HR Muslim)

Sahutlah seruan Allah ini kerana sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Dia mengotakan setiap janjiNya. Janji Allah bukan seperti janji manusia yang boleh dimungkiri sesuka hati. Janji Allah adalah pasti. Hari Arafah menurut perkiraan kalendar Islam jatuh pada 9 Dzul Hijjah dan kecanggihan teknologi sekarang membolehkan kita mengakses laman-laman web dari Kerajaan Arab Saudi yang menyatakan bila jatuhnya hari Arafah seandainya kita ragu-ragu dengan perkiraan sendiri. Amalan berpuasa itu dikatakan amalan yang sangat baik selain dari segi kesehatan, puasa juga antara amalan yang hanya kita dan Allah swt yang tahu. Menurut pendapat saya, berpuasa dapat mengurangi dari wujudnya perasaan riak dan takabbur, tidak seperti solat atau pun sedekah yang biasanya dapat diperhatikan oleh orang disekeliling kita.

Seterusnya pada 10 Dzul Hijjah, jatuhlah Hari Raya AidilAdha ataupun lebih sering disebut masyarakat sebagai Hari Raya Kurban. Pada hari ini, umat Islam merayakan satu lagi perayaan Islam yang besar mengingati peritiwa bersejarah yang terjadi pada Nabi Ibrahim as. Semua umat Islam digalakkan melakukan kurban dan menyedekahkannya pada orang fakir miskin yang memerlukan. Berlapang dada lah dalam melakukan sedekah, semoga amal kita ini lah yang akan menemani kita di akhirat kelak. Keikhlasan dalam melakukan setiap ibadat itulah yang diperhatikan oleh Allah swt dan dinilai untuk keputusan posisi kita diakhirat.

Cukup sekadar ini tulisan saya pada hari ini. Semoga ada yang dapat mengingatkan pada yang lupa dan semoga diri ini sendiri juga mendapat manfaat. Memperingati orang lain juga adalah antara proses muhasabah diri supaya dalam pada kita menilai orang lain, diri sendiri juga termasuk dalam penilaian. Akhir kata dari saya, nyatakan 6 hal ini dalam diri kita dengan harapan kita sentiasa bersedia untuk dekat dengan akhirat;
  • Kenali Allah dan taat pada Nya
  • Kenali syaitan dan jauhinya
  • Kenali kebenaran dan ikutinya
  • Kenali kebatilan dan jauhinya
  • Kenali dunia dan menolaknya
  • Kenali akhirat dan mencarinya
Akhirul kalam, wassalam.